Thursday, February 17, 2011

MARI MENGUNDI!!

Salam Permadik dan Salam 1Malaysia diucapkan kepada semua warga Permadik UMS. Setelah lama menyepi, akhirnya barisan kepimpinan PERMADIK 2009/2010 telah rasmi dibubarkan baru - baru ini. Pihak kami, mengucapkan selamat datang kepada barisan kepimpinan baru dan selamat bertugas. Ingat, kebajikan pelajar, keprihatinan kita.

Malahan, salah satu mantan PERMADIK telah meneruskan perjuangan reformasi beliau untuk memantapkan kebajikan pelajar - pelajar UMS amnya. Mantan Presiden PERMADIK, saudara JRD Surian Sebastian bin Bonior telah tampil untuk bertanding bagi merebut kerusi Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Sebagaimana yang anda telah sedia maklum, sumbangan saudara JRD terhadap kebajikan pelajar di SPPS amat membanggakan dan rata - rata pelajar SPPS begitu berpuas hati dengan pencapaian beliau. Justeru, undilah untuk saudara JRD agar kebajikan anda terpelihara selaras dengan manifesto beliau iaitu Jujur, Reformasi, Dedikasi. Beliau jujur dalam menggerakkan jentera reformasi beliau disamping berdedikasi di dalam melaksanakan tugas. Undilah calon No 2 iaitu saudara JRD!!

Monday, October 4, 2010

Ulasan Sekitar Majlis Hari Guru 2010

Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia saya ucapkan kepada semua. Apa khabar? Semua sihat? Sang penulis harap semua berada dalam keadaan yang baik-baik saja ya. Pesta Tamu Gadang sudah bermula dan majlis konvokesyen juga akan menyusul. Kepada semua pelajar Pendidikan yang akan secara rasminya tamat pengajian dalam minggu ini, kami dari Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial ingin mengucapkan tahniah dan selamat mengharungi dunia perguruan di luar sana. Kuatkan semangat dan selalu ingat tujuan asal kita semua bergelar guru. Mudah-mudahan perjalanan kita akan diberkati.

Tujuan asal sang penulis pada hari ini adalah untuk mengulas serba sedikit mengenai Majlis Hari Guru yang telah pun berlangsung pada minggu lepas, iaitu pada 30 September 2010 (Khamis) yang bertempat di Dewan Kuliah Pusat 1. Majlis tersebut bermula dalam jam 8 malam dan berakhir dengan jayanya pada hampir jam 11 malam. Walaupun, tidak ramai pelajar pendidikan yang datang untuk menyaksikan sambutan Hari Guru tersebut, namun apa yang sang penulis mampu simpulkan bahawa, sambutan tetap meriah dengan kehadiran pelajar-pelajar pendidikan yang begitu bersemangat pada malam tersebut. Sebenarnya inilah generasi guru yang kita semua mahukan. Bersemangat dan sentiasa aktif dalam berorganisasi. 

Majlis bermula dengan ketibaan Dekan Sekolah Pendidikan serta pensyarah-pensyarah yang lain. Kelihatannya pada malam tersebut, para pensyarah juga bersemangat untuk menyaksikan sambutan tersebut dan kami di sini begitu terharu dengan sokongan yang diberikan oleh para pensyarah. Majlis dimulakan dengan tarian 1Malaysia yang dipersembahkan oleh pelajar pendidikan yang terdiri daripada pelajar Tahun 1 serta Tahun 2. Pelbagai jenis tarian dipersembahkan pada malam tersebut. Tarian Melayu, Cina, India malahan tarian Sabah dan Sarawak juga telah diselitkan. Majlis seterusnya diteruskan dengan ucapan daripada Presiden Permadik sendiri, iaitu Jrd Sebastian dan juga diikuti oleh ucapan  dan perasmian daripada Dekan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial sendiri.

Persembahan daripada setiap program pendidikan juga ternyata mencuit hati para penonton. Bagi Program HT17, mereka telah mempersembahkan persembahan koir bersama. Para pelajar Program Sains Sukan pula telah menyampaikan sebuah sketsa lawak yang mengamatkan suasana majlis pada malam tersebut. Program Sains juga telah muncul dengan persembahan sketsa serta penyampaian sajak. Manakala Program Ekonomi dengan persembahan Wushu mereka dan tidak dilupakan Program TESL, yang muncul dengan persembahan nyanyian.

Majlis diteruskan dengan acara yang ditunggu-tunggu, iaitu Pertandingan Guru Idol. Ternyata saingan yang sengit berlaku pada malam tersebut. Kelima-lima peserta telah memberikan usaha yang sehabis baik dan persembahan mereka semua juga memuaskan. Walau bagaimanapun, seperti yang kita maklum, dalam pertandingan sudah tentu ada kalah dan menang. Peserta yang bernama Amalina daripada Program TESL Tahun 1 telah muncul sebagai Guru Idol pada malam tersebut dengan lagu yang membawa kemenangan kepadanya, iaitu "Hanya Di Mercu". Tahniah ya. Pelajar Gemilang untuk tahun 2010 juga telah diiktiraf dengan penyampaian hadiah dan sijil daripada Dekan sendiri. Sekalung tahniah diucapkan pada saudara Azrul Ibrahim serta saudari Stephanie Yap Su Chen kerana menjadi pelajar contoh untuk tahun ini. Semoga berjaya lagi di luar sana!

Secara kesimpulannya, majlis berjalan dengan lancar dan memuaskan. Walaupun, kurang mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar Sekolah Pendidikan sendiri, namun apa yang penting majlis tersebut berjaya dilaksanakan dengan baik. Sedikit kecewa juga dengan segelintir pelajar pendidikan yang kurang mengambil berat tentang sambutan Hari Guru ini. Malahan, yang sedihnya ada juga yang menganggap sambutan ini sebagai syok sendiri. Bagi penulis, sambutan ini diadakan untuk menghargai jasa guru-guru dan pendidik yang banyak membantu generasi muda. Anda fikirkan sendiri? Tanpa guru, mampukah anda bergelar insan yang anda bangga-banggakan sekarang? Mampukah kamu mencapai semua kejayaan sebelum ini tanpa mereka yang bergelar pendidik? Tepuk dada, tanyalah selera. Tidak salah rasanya bagi kita sebagai bakal guru untuk menyambut sambutan ini, kerana sambutan ini bukan saja untuk diri kita, tetapi untuk menghargai jasa semua guru yang mendidik dan pernah mendidik kita.

Akhir kata daripada kami, majulah GURU untuk masyarakat dan majulah PERMADIK untuk UMS! :)


p/s: Gambar-gambar Majlis Hari Guru akan dikemaskini kemudian. TQ.