Monday, October 4, 2010

Ulasan Sekitar Majlis Hari Guru 2010

Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia saya ucapkan kepada semua. Apa khabar? Semua sihat? Sang penulis harap semua berada dalam keadaan yang baik-baik saja ya. Pesta Tamu Gadang sudah bermula dan majlis konvokesyen juga akan menyusul. Kepada semua pelajar Pendidikan yang akan secara rasminya tamat pengajian dalam minggu ini, kami dari Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial ingin mengucapkan tahniah dan selamat mengharungi dunia perguruan di luar sana. Kuatkan semangat dan selalu ingat tujuan asal kita semua bergelar guru. Mudah-mudahan perjalanan kita akan diberkati.

Tujuan asal sang penulis pada hari ini adalah untuk mengulas serba sedikit mengenai Majlis Hari Guru yang telah pun berlangsung pada minggu lepas, iaitu pada 30 September 2010 (Khamis) yang bertempat di Dewan Kuliah Pusat 1. Majlis tersebut bermula dalam jam 8 malam dan berakhir dengan jayanya pada hampir jam 11 malam. Walaupun, tidak ramai pelajar pendidikan yang datang untuk menyaksikan sambutan Hari Guru tersebut, namun apa yang sang penulis mampu simpulkan bahawa, sambutan tetap meriah dengan kehadiran pelajar-pelajar pendidikan yang begitu bersemangat pada malam tersebut. Sebenarnya inilah generasi guru yang kita semua mahukan. Bersemangat dan sentiasa aktif dalam berorganisasi. 

Majlis bermula dengan ketibaan Dekan Sekolah Pendidikan serta pensyarah-pensyarah yang lain. Kelihatannya pada malam tersebut, para pensyarah juga bersemangat untuk menyaksikan sambutan tersebut dan kami di sini begitu terharu dengan sokongan yang diberikan oleh para pensyarah. Majlis dimulakan dengan tarian 1Malaysia yang dipersembahkan oleh pelajar pendidikan yang terdiri daripada pelajar Tahun 1 serta Tahun 2. Pelbagai jenis tarian dipersembahkan pada malam tersebut. Tarian Melayu, Cina, India malahan tarian Sabah dan Sarawak juga telah diselitkan. Majlis seterusnya diteruskan dengan ucapan daripada Presiden Permadik sendiri, iaitu Jrd Sebastian dan juga diikuti oleh ucapan  dan perasmian daripada Dekan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial sendiri.

Persembahan daripada setiap program pendidikan juga ternyata mencuit hati para penonton. Bagi Program HT17, mereka telah mempersembahkan persembahan koir bersama. Para pelajar Program Sains Sukan pula telah menyampaikan sebuah sketsa lawak yang mengamatkan suasana majlis pada malam tersebut. Program Sains juga telah muncul dengan persembahan sketsa serta penyampaian sajak. Manakala Program Ekonomi dengan persembahan Wushu mereka dan tidak dilupakan Program TESL, yang muncul dengan persembahan nyanyian.

Majlis diteruskan dengan acara yang ditunggu-tunggu, iaitu Pertandingan Guru Idol. Ternyata saingan yang sengit berlaku pada malam tersebut. Kelima-lima peserta telah memberikan usaha yang sehabis baik dan persembahan mereka semua juga memuaskan. Walau bagaimanapun, seperti yang kita maklum, dalam pertandingan sudah tentu ada kalah dan menang. Peserta yang bernama Amalina daripada Program TESL Tahun 1 telah muncul sebagai Guru Idol pada malam tersebut dengan lagu yang membawa kemenangan kepadanya, iaitu "Hanya Di Mercu". Tahniah ya. Pelajar Gemilang untuk tahun 2010 juga telah diiktiraf dengan penyampaian hadiah dan sijil daripada Dekan sendiri. Sekalung tahniah diucapkan pada saudara Azrul Ibrahim serta saudari Stephanie Yap Su Chen kerana menjadi pelajar contoh untuk tahun ini. Semoga berjaya lagi di luar sana!

Secara kesimpulannya, majlis berjalan dengan lancar dan memuaskan. Walaupun, kurang mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar Sekolah Pendidikan sendiri, namun apa yang penting majlis tersebut berjaya dilaksanakan dengan baik. Sedikit kecewa juga dengan segelintir pelajar pendidikan yang kurang mengambil berat tentang sambutan Hari Guru ini. Malahan, yang sedihnya ada juga yang menganggap sambutan ini sebagai syok sendiri. Bagi penulis, sambutan ini diadakan untuk menghargai jasa guru-guru dan pendidik yang banyak membantu generasi muda. Anda fikirkan sendiri? Tanpa guru, mampukah anda bergelar insan yang anda bangga-banggakan sekarang? Mampukah kamu mencapai semua kejayaan sebelum ini tanpa mereka yang bergelar pendidik? Tepuk dada, tanyalah selera. Tidak salah rasanya bagi kita sebagai bakal guru untuk menyambut sambutan ini, kerana sambutan ini bukan saja untuk diri kita, tetapi untuk menghargai jasa semua guru yang mendidik dan pernah mendidik kita.

Akhir kata daripada kami, majulah GURU untuk masyarakat dan majulah PERMADIK untuk UMS! :)


p/s: Gambar-gambar Majlis Hari Guru akan dikemaskini kemudian. TQ.

Sunday, September 26, 2010

Malam Kemuncak Sambutan Hari Guru SPPS 2010

Salam 1Malaysia dan selamat sejahtera semua. Semua sihat? Sang penulis ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mencuri sedikit masa untuk menjenguk blog ini. Kepada umat Islam, tidak terlalu lambat rasanya untuk mengucapkan selamat hari raya kan? Selamat Hari Raya semua, semoga tahun ini, raya anda menjadi lebih baik dari tahun yang sebelumnya.

Berbalik kepada tujuan asal, ramai yang sudah maklum bahawa, sambutan Hari Guru akan diadakan dalam masa terdekat ini. Untuk pengetahuan semua, sambutan Hari Guru ini julung kali diadakan selepas 8 tahun yang lalu, oleh itu ia dilihat sebagai suatu acara yang dinanti-nantikan. Pelbagai rancangan dan pelan sudah dilaksanakan bagi memastikan sambutan tersebut berjaya dan warga Permadik, khususnya telah bertungkus-lumus untuk melicinkan lagi pergerakan pelan sambutan Hari Guru ini.



MALAM KEMUNCAK SAMBUTAN HARI GURU SPPS

Tarikh: 30 September 2010
Masa: 7.00 pm
Tempat: DKP1
Kod Pemakaian: Batik


Untuk pengetahuan semua, pelbagai acara telah dirangka untuk malam kemuncak tersebut. Antaranya ialah Pertandingan Guru Idol (Final), persembahan menarik daripada setiap program pendidikan, tokoh pelajar lelaki dan perempuan SPPS serta bermacam-macam lagi. Buat 100 pengunjung pertama akan mendapat hadiah doorgift istimewa sempena Hari Guru SPPS. Sambutan Hari Guru ini terbuka kepada semua pelajar UMS. Oleh itu, jangan lupa ya bawa dan jemputlah sekali rakan-rakan dan sahabat anda daripada jurusan lain juga bagi memeriahkan sambutan ini :)

Kepada semua warga SPPS, khususnya, marilah kita beramai-ramai turut serta dalam sambutan ini dan sebagai tanda sokongan, sama-samalah kita menghadiri acara ini.

Akhir kata dari kami, majulah Permadik untuk UMS, majulah Pendidik untuk masyarakat! =))

Saturday, August 28, 2010

Sekitar Lawatan SMK Ranau

Pada 26 Ogos 2010, sekolah kita, telah menerima kunjungan daripada pelajar-pelajar dan wakil guru iringan dari SMK Ranau. Seramai 96 orang pelajar Tingkatan 4 telah melawat SPPS dan diriingi oleh 8 orang guru dari SMK Ranau. Lawatan diadakan di sekitar SPPS dan sedikit taklimat telah disampaikan oleh Presiden PERMADIK sendiri, iaitu Jrd Sebastian.

Berikut merupakan beberapa gambar yang berjaya dirakamkan pada hari tersebut.

Presiden memberikan taklimat.


Para pelajar Tingkatan 4 yang memenuhi mini auditorium SPPS.





Wakil guru dari SMK Ranau bersama Presiden.



Untuk lebih maklumat, para ahli Permadik bolehlah mengunjung laman Facebook rasmi PERMADIK APPRENTICE 2010. Banyak informasi terkini yang boleh didapatkan di sana. Rajin-rajinlah mengunjung ya. =))


Friday, August 27, 2010

Persiapan Hari Guru: Tarian 1Malaysia

Pada hari Rabu yang lepas, latihan untuk tarian 1Malaysia telah diadakan dengan kehadiran jurulatih tarian yang berwibawa iaitu Encik Sofrizan sendiri. Latihan telah diadakan dengan intensif dengan memperkenalkan tarian bangsa Cina, bangsa India, bangsa Melayu dan juga tarian berbilang kaum. Beberapa orang ahli Permadik sendiri telah turut serta mengikuti perkembangan latihan tersebut dan ternyata semangat yang diberikan oleh para peserta tarian sangatlah memberangsangkan. Diharapkan agar semangat anda semua masih berterusan sehingga ke hujung semester ya.

Berikut merupakan antara gambar yang penulis berjaya merakamkan.

Barisan para peserta tarian 1Malaysia pada malam tersebut.



Jurulatih tarian, Abang Ijan.



Latihan intensif untuk para peserta tarian.



Kepada para peserta semua, sang penulis ingin mengucapkan syabas kerana menyahut seruan untuk belajar aktifkan diri dalam program sekolah. Semangat anda semua memang sangat baik dan kami seronok melihat gelagat dan telatah anda semua yang begitu bersemangat.

Akhir kata, majulah PERMADIK untuk UMS! :)

Tuesday, August 10, 2010

Sekitar Guru Idol

Salam Permadik dan salam satu Malaysia saya ucapkan! Apa khabar anda semua? Sihat tak? Diharapkan semua sihat-sihat sahaja ya. Sang penulis di sini sihat sahaja. 

Seperti yang kita semua tahu, pada minggu lepas, PERMADIK dan warga SPPS telah menganjurkan beberapa aktiviti untuk menghangatkan lagi sambutan Hari Guru SPPS. Ternyata sambutan yang diberikan memberangsangkan kerana jumlah pernyertaan yang diterima agak memuaskan. Beginilah semangat yang kita semua mahu kan? Aktif dan bukannya pasif. Justeru itu, para bakal guru semua mampu memanfaatkan kesemua aktiviti tersebut untuk memantapkan lagi nilai softskills dan juga hardskills. Salah satu daripada aktiviti yang dianjurkan oleh PERMADIK sendiri ialah pertandingan Guru Idol., iaitu pada tarikh 4 Ogos 2010. Wah, siapa sangka ya? Bakal-bakal guru kita juga rupanya juga boleh bernyanyi dan mempunyai bakat yang terpendam. Sang penulis ingin mengucapkan sekalung tahniah buat semua para peserta kerana membuat persembahan yang baik dan menghiburkan.

Berbicara tentang Guru Idol, saya ingin membuka ruang untuk serba sedikit coretan tentang majlis tersebut. Secara keseluruhannya terdapat seramai 13 orang para peserta yang menyertai pertandingan ini dan setiap daripada mereka memiliki keistimewaan dan keunikan masing-masing. Jumlah penonton yang hadir pada malam tersebut agak sedikit kerana mini auditorium SPPS kelihatan sedikit kosong. Walau bagaimanapun, suasana pada malam tersebut memang meriah dan ternyata para penonton yang hadir semuanya sporting belaka. Untuk pengetahuan semua, pertandingan ini mengamalkan sistem 50% markah daripada juri dan 50% lagi daripada para penonton yang hadir pada malam tersebut. Setakat ini, keputusan masih belum diketahui lagi akan tetapi, cuma akan ada 3 peserta sahaja yang akan melangkah ke final Guru Idol, iaitu pada majlis penutupan Hari Guru pada bulan September nanti. 


Pentas Guru Idol


Leonie Lee Yun (HT16) - Teruskanlah (Agnes Monica)


Emmanuel (HT06) - It Must Be Love


Kartini Ambomai (HT18) - Destiny



Felix Sami (HT06) - I'm Yours (Jason Mraz)



Prishella Lamit (HT16) - Bukan Cinta Biasa (Siti Nurhaliza)



Billy Wong Ken Yin (HT06) - Delaila (Kristal)


Freda Adzierena Among (HT16) - Destiny



Haisah Kimin (HT16) - Ku Intai Cinta Dalam Rahsia


Nuramalina (HT06) - Air Mata Ibu (Siti Nurhaliza)



Nurul Faezah Abdullah (HT17) - Sejak Ku Bertemu Padamu



Jamlis Kidot (HT17) - Naluri Lelaki



 Adam (HT06) - The Climb (Miley Cyrus)



Farid Lamza (HT17) - Izinkan Ku Pergi (Kaer)



Barisan juri pada malam tersebut.



Pengacara pada malam Guru Idol, Oyame dan Tracy.



Demikianlah ulasan sekitar Guru Idol pada malam tersebut. Diharapkan agar semangat para pelajar SPPS berterusan sampai ke hujungnya bagi menyokong setiap aktiviti PERMADIK. Sokongan anda semua amatlah diperlukan dan kepada yang tidak jemu memberikan sokongan dan kerjasama, kami daripada Exco ICT ingin mengucapkan ribuan terima kasih. Keep on supporting PERMADIK! =)

Blog juga akan diupdate dengan cerita Family Day SPPS, Kempen Derma Darah dan beberapa program yang lain. Nantikan kemunculan gambar-gambar istimewa ya!

Thursday, July 29, 2010

Perlantikan Presiden PERMADIK sebagai Pengerusi Majlis Presiden UMS

SALAM PERMADIK! Apa khabar anda semua? Sihat tak? Harap anda semua sihat sahaja ya. Hari ini sang penulis ingin mewartakan khabar gembira buat semua warga SPPS, Permadik dan khususnya buat Presiden Permadik kita, Jrd Surian Sebastian.

Pada hari Rabu yang lalu, Presiden Permadik kita telah dilantik menjadi Pengerusi Majlis Presiden Universiti Malaysia Sabah! Ribuan tahniah diucapkan daripada kami warga Permadik serta SPPS sendiri terhadap perlantikan tersebut. Dengan perlantikan ini, diharapkan agar semangat dan perjuangan Presiden dapat diteruskan lagi untuk memperjuangkan kebajikan para pelajar serta mengangkat nama Permadik sendiri sebagai sebuah persatuan yang bukan sahaja komited tetapi juga diiktiraf.



Berita ini sememangnya membawa berita yang baik khususnya kepada barisan kepimpinan Permadik sendiri. Oleh itu, sebagai rakan Permadik dan warga SPPS, kita hendaklah sentiasa memberikan sokongan padu terhadap Presiden dan juga terhadap Persatuan Permadik sendiri. Ingatlah bahawa, setiap kejayaan itu bermula dengan usaha dan kerjasama sesama pihak. Jalankanlah tanggungjawab anda sebaik yang mungkin.

Sekali lagi, kami ucapkan tahniah untuk Presiden! You're the best!!!

Sunday, July 25, 2010

Majlis Amanat Dekan

Pada 23 Julai 2010 yang lepas, iaitu bersamaan pada hari Jumaat, Sekolah Pendidikan Dan Pembangunan Sosial telah mengadakan sebuah majlis untuk warga SPPS iaitu Majlis Amanat Dekan. Majlis tersebut telah bermula pada jam 8.40 pagi dengan kehadiran beberapa pensyarah SPPS, pelajar-pelajar SPPS dan juga dihadiri oleh Dekan sekolah kita sendiri. Majlis tersebut telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Universiti Malaysia Sabah serta lagu Kami Guru Malaysia. Majlis diteruskan dengan pembacaan doa daripada wakil pelajar SPPS dan seterusnya ucapan daripada Presiden Permadik, iaitu Jrd Sebastian.

Berikut merupakan beberapa pengisian daripada ucapan Presiden Permadik.
- Majlis tersebut dicetuskan oleh Dekan sendiri.
- Majlis itu memberi peluang untuk pelajar SPPS mendengarkan sendiri taklimat dan strategi perlaksanaan program sekolah kita.
- Beliau menekankan kepentingan perhimpunan besar seperti majlis tersebut.
- Presiden juga telah menyeru kita sebagai warga SPPS supaya mengaktifkan diri di kampus dan menekankan elemen soft skill dalam diri masing-masing.

Majlis diteruskan dengan ucapan dan amanat yang dinanti-nantikan semua pelajar SPPS. Antara pengisian amanat Dekan ialah:
- Dekan telah menyentuh tentang jumlah para pelajar dalam setiap program pendidikan. Menurut beliau, kumpulan program yang paling banyak ialah program HT17, iaitu Program Sains Sosial. Manakala jumlah yang tersedikit ialah kumpulan pelajar Program Pendidikan Ekonomi.
- Mulai semester ini, sekolah akan memberikan peluang dan perhatian lebih kepada pelajar yang berpotensi untuk mendapatkan kelas pertama, manakala pelajar yang memiliki Gred 2.30 dan ke bawaj akan diberikan bimbingan untuk meningkatkan prestasi mereka.
- Dekan mahu aspek softskill diutamakan dan juga harus memberi fokus pada nilai intelek.
- Beberapa program akan dianjurkan oleh Sekolah SPPS sendiri, contohnya Program Hari Guru (Bulan Ogos dan September), Majlis Berbuka Puasa, pembukaan Makmal SPPS dan juga beberapa program yang lain.
- Rancangan untuk membantu para pelajar daripada awal, khususnya pelajar Tahun Satu.
- Dekan juga telah menyeru supaya para pelajar sentiasa maju ke depan, perbaiki kehadiran masing-masing serta pelajar seharusnya menumpukan sepenuh perhatian pada program. Jangan lalai dengan aktiviti sampingan sehingga menganggu pembelajaran.
- Penampilan pelajar SPPS juga turut diberi perhatian oleh Dekan. Beliau telah menekankan kepentingan penampilan sebagai seorang bakal guru apabila berada di kawasan sekolah, khususnya.

Antara beberapa isu yang dikemukan semasa sesi Soal dan Jawab ialah:
i.) Isu penempatan guru.
- Pelajar harus menepati kelayakan yang diperlukan untuk mendapat posting ke sekolah-sekolah.
- Pelajar juga harus berfikiran luas. Pelajar boleh mengajar di mana-mana sekolah dan tidak perlu menunggu untuk posting.

ii.) PPSMI akan dimansuhkan secara perlahan-lahan.

iii.) Isu penempatan ke kawasan pedalaman.
- Syarat yang harus ditepati kerana ia adalah keputusan muktamad kerajaan.
- Pelajar tidak harus menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu "bala" akan tetapi menganggapnya sebagai satu hadiah.

iv.) Cadangan untuk PERMADIK mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia.
- Idea tersebut akan dipertimbangkan.

v.) Isu hardskill yang dikemukan.
- Program seperti sukan, unit beruniform dan persatuan dicadangkan.


Demikianlah pengisian amanat Dekan pada hari tersebut. Isu-isu yang dikemukan haruslah diambil perhatian bukan sahaja oleh pihak PERMADIK sendiri, tetapi juga untuk pelajar SPPS yang lain. Sentiasalah mengunjungi FB PERMADIK kerana di situ pelbagai aktiviti telah dirangkakan dan dikemaskini. Amanat yang telah diberikan Dekan juga haruslah disematkan dalam jiwa setiap pelajar SPPS.

Setiap amanat harus disemaikan dalam diri. Ingatlah bahawa, ini semua adalah untuk kebaikan diri kita sendiri dan bukan untuk orang lain. Setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak SPPS mahupun pihak PERMADIK bukanlah bertujuan untuk memaksa atau menyusahkan para pelajar, akan tetapi ia adalah untuk kebaikan diri kita semua.

INILAH TANGGUNGJAWAB KITA SEMUA SEBAGAI BAKAL PENDIDIK.

Sunday, July 18, 2010

Lawatan Pelajar SM Teknik Tawau

Salam PERMADIK sang penulis ucapkan kepada semua. Selamat pagi dan selamat sejahtera. Untuk pengetahuan semua, pada 17 Julai 2010 (Sabtu), para pelajar daripada Sekolah Menengah Teknik Tawau telah membuat lawatan ke Universiti Malaysia Sabah, khususnya di sekolah kita, iaitu Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial. Ahli PERMADIK sendiri telah merangka perisian program lawatan ke SPPS tersebut di samping memberi motivasi kepada para pelajar sekolah tersebut agar mereka berjaya dan berupaya untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti.

Berikut adalah beberapa gambar yang diambil pada hari lawatan tersebut.


SPPS


Barisan PERMADIK yang bertugas pada hari tersebut.


Presiden PERMADIK =)








Kenangan bergambar beramai-ramai bersama pelajar SM Teknik Tawau.


Info terkini daripada PERMADIK, Sukan Massa Mahasiswa Sesi 2010/2011 akan berlangsung pada 1 Ogos 2010 ini yang bertempat di kompleks sukan UMS. Penyertaan terbuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi. Antara acara yang akan dipertandingkan ialah acara futsal, bola keranjang, bola tampar, sepak takraw, ping pong, ragbi sentuh dan juga sukan bola jaring. Semua penyertaan adalah percuma.

Oleh itu, sama-samalah kita semua warga SPPS memeriahkan karnival sukan ini dengan menghantar penyertaan masing-masing. Majulah sukan untuk negara dan majulah PERMADIK untuk SPPS!

Friday, July 16, 2010

Jemputan Ke Majlis Amanat Dekan

Salam sejahtera dan salam 1Malaysia sang penulis ucapkan kepada warga Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial serta salam Permadik saya ucapkan terhadap warga PERMADIK sekalian. Apa khabar anda semua? Sihat tak? Semoga semua sihat-sihat belaka ya.

Bersempena dengan Majlis Amanat Dekan yang akan diadakan pada 23 Julai 2010 (Jumaat) ini, kami wakil daripada warga PERMADIK ingin menjemput semua warga SPPS serta warga PERMADIK sekalian untuk turut serta menyertai dan menghadiri majlis tersebut sebagai tanda sokongan terhadap sekolah kita. Majlis ini adalah penting kerana program ini memberi peluang kepada kita untuk mendengar sedikit sebanyak amanat dan sepatah kata daripada Dekan sekolah kita sendiri. Malahan, kita juga akan mendapat banyak manfaat seperti mendapatkan maklumat yang lebih khusus dan terkini tentang sekolah SPPS kita. Diharapkan agar semua pihak dapat bekerjasama dan marilah kita semua menyokong apa sahaja aktiviti yang dianjurkan oleh pihak PERMADIK.



Seperti yang kita dapat lihat di poster di atas, kod pemakaian bagi semua pelajar SPPS adalah formal dan berpakaian lengkap. Sekiranya mana-mana pelajar terlibat dengan kuliah pada hari tersebut, anda akan diberikan surat pengecualian daripada kuliah. Malahan, cop passport juga akan diberikan kepada semua pelajar yang menghadiri majlis tersebut. 

Warga PERMADIK dan warga SPPS, sama-samalah kita menghadiri majlis tersebut sebagai tanda sokongan terhadap Dekan serta terhadap sekolah kita sendiri. 

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. =)

Sunday, July 4, 2010

Selamat Datang Ke UMS!

Seperti yang kita semua tahu, pada minggu ini para pelajar baru akan datang mendaftar ke Universiti Malaysia Sabah untuk meneruskan pengajian mereka. Kami daripada warga PERMADIK ingin mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baru dan semoga kita semua dapat berkerjasama dengan baik pada masa hadapan, khususnya kepada pelajar-pelajar baru Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial. Minggu pertama berada di kampus selalunya minggu yang agak mendebarkan dan mungkin juga memenatkan buat semua kerana kita tahu bahawa minggu yang pertama ialah minggu suai mesra bersama para pelajar baru, atau pun dalam bahasa ringkasnya, MSM.

Berdasarkan pengalaman penulis pada MSM yang lepas, minggu MSM sememangnya agak memenatkan akan tetapi banyak pengalaman dan banyak manfaat yang dapat kita semua perolehi dalam minggu tersebut. Hati mungkin terguris ataupun terluka dek kerana beberapa pihak, tetapi anggaplah semua itu sebagai satu cabaran besar bagi anda semua. Dan pelajar-pelajar baru yang datang daripada Semenanjung dan Sarawak, sudah semestinya akan merindui keluarga tersayang yang jauh. Kami faham perasaan anda. Bukan senang untuk menempuhi semua tanpa mereka yang tersayang ada di sisi. Banyakkan berdoa dan kuatkan semangat, itulah kunci kepada kejayaan! Dan tidak lupa juga kepada pelajar-pelajar dari Universiti Perguruan Sultan Idris ataupun UPSI yang turut mendaftar ke UMS untuk program exchange students selama 1 semester. Selamat datang semuanya!

Buat warga SPPS yang baru, ambil lah sebanyak mana pengalaman yang dapat digenggam di minggu pertama ini. Hayatilah prinsip dan rukun yang harus didalami sebagai warga pendidik yang akan berkhidmat untuk masyarakat pada masa akan datang. Ingatlah, sebagai warga pendidik, tanggungjawab kita adalah sangat besar dan mulai sekarang, kita semua harus menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua. Lebih-lebih lagi buat warga sekolah kita, iaitu SPPS. Terimalah dengan seadanya undang-undang yang perlu dipatuhi ketika berada di kawasan sekolah dan jangan menganggap undang-undang tersebut sebagai sesuatu yang leceh mahupun skema.

Buat semua pelajar baru SPPS, sekali lagi, kami daripada warga PERMADIK 2010 mengucapkan selamat datang kepada anda semua! Have a safe journey with us and all the best juniors! =))


Kami warga PERMADIK semua bersedia membantu pelajar-pelajar baru ya. Kalau ada soalan, jangan lah malu-malu bertanya. Bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan. Sama-samalah kita berkerjasama untuk membentuk komuniti pendidik UMS yang berwawasan!

Ganbatte semua! Chayoo-chayoo!



p.s: Tidak sabar menyambut pelajar-pelajar baru.

Tuesday, June 8, 2010

Memorandum Untuk Memohon Presiden PERMADIK untuk tidak meletakkan jawatan

Kami daripada Exco ICT, mewakili warga PERMADIK dan juga warga Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial memohon Presiden PERMADIK, iaitu Jrd Sebastian untuk mempertimbangkan keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden.

Kami berharap agar Presiden tidak bertindak melulu dengan membuat keputusan tersebut. Kami faham bahawa Presiden mungkin mengalami beberapa kesulitan dan masalah yang harus dihadapi sebagai Presiden, akan tetapi warga PERMADIK dan SPPS sangat-sangat memerlukan Presiden seperti anda yang sangat berwibawa untuk membantu memimpin kami. Kami percaya dengan pimpinan anda, PERMADIK akan menjadi lebih berjaya dan bermakna.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu dipikul."

Kami sedar tugas sebagai Presiden itu sangat mencabar fizikal dan mental, tetapi ketahuilah bahawa kami akan sentiasa berada di sini untuk membantu Presiden untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Kami sangat memerlukan khidmat anda dan kami mohon agar Presiden sekali lagi untuk cuba mempertimbangkan keputusan tersebut.

Kepada warga-warga SPPS, marilah kita sama-sama menyokong memorandum ini! Kami tidak mampu untuk kehilangan khidmat Presiden yang sangat berwibawa! Jrd Sebastian, we need you!



p.s: Kepada warga SPPS yang membaca, sama-samalah kita meminta Presiden untuk mempertimbangkan keputusannya dengan menyatakan suara hati dan sokongan kita di page facebook PERMADIK APPRENTICE 2010.

Tuesday, May 25, 2010

Guru Oh Guru

Petikan dari website MyMetro. Berita tentang penyalahgunaan peranan seorang guru yang sepatutnya menjadi pembimbing dan bukannya manusia yang bernafsukan binatang.

"GELORA NAFSU SEORANG GURU"
Oleh Alias Abd Rani

SIBU: Gelora nafsu seorang guru yang terpaksa ‘berpuasa’ kerana isterinya sarat mengandung anak sulung membuatkannya buta hati kerana tergamak mencabul kehormatan lima murid termasuk adik iparnya sendiri selepas mengumpan mereka menonton filem lucah.

Malah, guru berusia 32 tahun sebuah sekolah rendah di Dalat di sini itu dikatakan turut menggugut mangsa supaya menyimpan rahsia untuk memastikan perbuatan terkutuknya tidak terbongkar.
Perbuatan harapkan pagar, pagar makan padi itu bermula apabila guru berkenaan didakwa mencabul adik iparnya di kuarters kediaman guru pada tengah hari antara Mac hingga 8 Mei lalu ketika isterinya tiada di rumah.


Dia dikatakan memanggil mangsa ke bilik sebelum mengarahkannya menanggalkan pakaian satu persatu sambil menayangkan cakera padat video (VCD) lucah yang dimuatkan dalam komputer ribanya sebelum mencabul mangsa.


Tidak cukup dengan darah daging isteri sendiri, lelaki hidung belang itu meneruskan kerja hinanya ke atas empat lagi muridnya di makmal serta perpustakaan sekolah berkenaan.


Berdasarkan maklumat yang diperoleh, setiap murid yang dipanggil guru terbabit ke makmal tidak dibenarkan melalui bilik guru, sebaliknya diarah menggunakan laluan belakang bagi mengelakkan perbuatan sumbangnya disyaki.


Difahamkan, guru subjek Sains berasal dari Sarikei itu sudah melakukan perbuatan tidak senonoh sejak sekian lama sehinggalah diketahui pihak sekolah sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, kelmarin.


Kebanyakan mangsanya difahamkan tinggal di asrama sekolah berkenaan dan suspek dikatakan tinggal di kuarters guru di situ sejak 10 tahun lalu.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, berdasarkan laporan diterima pihaknya, adik ipar suspek mendakwa dirogol ketika dibawa ke kuarters kediaman guru berkenaan.



Pihak ICT berasa kurang senang dengan berita-berita seperti ini. Bukankah apabila kita memilih jalan sebagai seorang guru, kita sudah berikrar untuk berkhidmat untuk masyarakat dan bukannya membebankan masyarakat?

Buat semua warga SPPS yang bakal bergelar pendidik, sama-samalah kita menjauhi perbuatan yang terkutuk seorang guru ini.

Tanggungjawab kita adalah untuk mendidik dan bukan merosakkan.


p/s: Setiap perbuatan pasti ada pembalasan.

Ubahlah Diri Sendiri

Sekali lagi entri pada hari ini, saya petik daripada seorang insan yang menamakan dirinya sebagai "anynomous" di ruangan komen untuk blog PERMADIK ini. Komen ini telah diambil kerana saya begitu tersentuh apabila membaca coretan tersebut.

Marilah kita sama-sama menghayati coretan ini.

“Semasa saya kecil, saya bercita-cita untuk mengubah dunia. Tetapi bila saya membesar, saya merasakan ia sebuah cita-cita yang terlalu besar. Lalu saya menukar cita-cita saya untuk mengubah negara saya.
Namun semakin saya membesar menjadi remaja, saya merasakan ia juga satu cita-cita yang terlalu besar. Maka saya menukar cita-cita saya untuk mengubah bandar kelahiran saya.

Oh, setelah meningkat dewasa saya merasakan ia juga sesuatu yang amat sukar untuk dilaksanakan. Saya perlu menukar lagi cita-cita saya. Kini cita-cita saya ingin mengubah keluarga saya.

Semakin hari semakin meningkat tua, saya rasa terlalu sukar pula untuk mengubah nasib keluarga. Saya perlu mula mengubah diri saya sendiri.

Jikalah saya bercita-cita sejak kecil dahulu untuk mengubah diri saya sendiri, pasti saya akan berjaya mengubah keluarga saya, bandar kelahiran malah negara saya. Juga mana tahu saya juga mampu untuk mengubah dunia.

Tetapi kini saya sudah tua. Segalanya sudah terlambat.”




Pesanan daripada kami, exco ICT dan juga daripada "anynomous" tersebut, ubahlah diri sendiri sebelum mengubah orang lain. =))

Friday, May 14, 2010

Erti Sebenar Pengorbanan

Cerita ini telah dikongsikan oleh seorang insan yang meletakkan dirinya sebagai "anynomous". Pihak ICT sangat senang dengan cerita ini dan semoga kisah ini mampu menjadi iktibar buat semua.

Dari Anynomous:
Saya sekadar ingin berkongsi cerita ini walaupun ada di kalangan pembaca blog ini sudah membacanya...Cerita ini adalah kisah benar...

Kisahnya:

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. 

Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya. Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat. 

Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah. Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah. Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. 

Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang. 

"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?" Dia terkejut dan wajahnya berubah. 

"Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya 

"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?" 

" Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu." 

Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ......." 

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.



Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita ini dengan kami. Kisah ini sangat menyentuh hati. Inilah harga pengorbanan seorang pelajar yang sangat telus.

Diharapkan banyak lagi kisah-kisah yang dapat dikongsikan oleh para pembaca sekalian. =))


p/s: Terima kasih kepada semua warga SPPS yang menyokong PERMADIK! Tanpa anda, siapalah kami. Semoga kerjasama dan sokongan terhadap PERMADIK ini dapat dikekalkan sampai bila-bila.

Gagal Mendapat Penempatan Kolej Kediaman?

Seperti yang kita sedia maklum, baru-baru ini, isu gagal untuk mendapatkan penempatan kolej kediaman di Kampung masing-masing di UMS semakin mencuri perhatian ramai pihak. Ramai pelajar yang didapati bahawa permohonan kolej kediaman mereka telah ditolak, dan dalam erti kata lain, mereka telah disingkirkan daripada mendapat kolej kediaman untuk semester hadapan. Ramai pelajar yang merungut kerana didapati bahawa terdapat tidak ketelusan dalam pentadbiran pihak kolej masing-masing. Terdapat sesetengah pelajar yang sangat aktif dalam persatuan dan aktiviti kolej, namun usaha mereka itu seakan sia-sia apabila akhirnya permohonan mereka untuk penempatan kolej kediaman telah ditolak. Malahan, yang lebih mengejutkan lagi pula, terdapat sesetengah pelajar yang tidak aktif dan jarang melibatkan diri dalam kegiatan persatuan, namun permohonan mereka pula telah diluluskan oleh pihak pentadbiran.

Pihak Permadik melihat isu ini sebagai satu isu yang kurang menyenangkan dan agak berat sebelah. Permohonan untuk tinggal di kolej kediaman seakan-akan diperlakukan seperti ala kadar sahaja. Di mana janji dan mandat yang diuar-uarkan oleh pihak kolej kediaman sebelum ini? Mereka menyatakan bahawa cuma pelajar yang aktif sahaja yang mampu mendapat penempatan kolej kediaman akan tetapi, apa yang berlaku pula adalah sebaliknya.

Justeru itu, pihak Permadik sendiri telah mengambil langkah untuk menulis surat rasmi kepada pihak MPP supaya membawa kes dan isu ini kepada pihak atasan Universiti Malaysia Sabah.

Kepada pelajar-pelajar UMS, khususnya warga SPPS sekalian, yang tidak mendapat kolej kediaman untuk semester depan, anda dicadangkan untuk menyertakan maklumat-maklumat berikut kepada nombor telefon ini, 016-8392703 ataupun 0148537109 bagi memudahkan proses pengumpulan data untuk membantu para pelajar yang tercicir dari kolej kediaman.

1. Nama Penuh
2. Nombor Matrik
3. Nombor Telefon (mudah dihubungi)

Maklumat ini diperlukan untuk disertakan dalam surat yang akan diberi kepada pihak MPP. Diharapkan dengan langkah ini, warga SPPS mampu mendapatkan peluang semula untuk terus berada di kolej kediaman untuk semester akan datang.

Untuk maklumat yang lebih lanjut, anda bolehlah merujuk kepada discussion board di page PERMADIK APPRENTICE 2010.


p/s: Diharapkan warga SPPS dapat bersabar dalam menghadapi isu ini. Sabar itu separuh dari iman. Pihak Permadik akan cuba dengan sedaya upaya untuk membantu anda sekalian. =))

Wednesday, May 12, 2010

Inilah Ikrar Kita

Ikrar Hari Guru

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.


p/s: Ikrar yang harus disemat dalam hati semua warga SPPS! Sama-samalah kita berbakti untuk masyarakat! =))

Al-kisah Hari Guru

Seperti yang kita semua sudah tahu, sambutan Hari Guru kian menjelma, iaitu pada 16 Mei 2010. Sambutan Hari Guru ini, tentunya menjadi sesuatu yang bermakna buat semua guru dan sebagai warga SPPS yang bakal menyandang tanggungjawab sebagai guru untuk generasi-generasi yang akan datang, sudah tentulah kita juga akan terasa bahangnya. Tema Hari Guru untuk tahun 2010 yang gemilang ini ialah "GURU PEMBINA NEGARA BANGSA".

Dan ini merupakan lirik untuk lagu tema Hari Guru pada tahun ini:



GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota

Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta

Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia

Lagu ini telah dicipta oleh Khairulrizam bin Khalid, manakala liriknya pula telah diilhamkan oleh Lli Nurbahirah Bt. Baharuddin. Pengubah muziknya pula ialah Marzuki Bin Tambi. Sama-samalah kita menghayati lirik serta lagu tersebut, agar mampu menjadi iktibar buat kita semua, warga pendidik.

p/s: Guru Pembina Negara Bangsa!

Monday, May 10, 2010

Selamat Bercuti Hujung Semester!

Cuti hujung semester sudah bermula sejak seminggu yang lepas. Malahan, mungkin ada juga pelajar yang lebih awal memulakan cuti-cuti mereka. Warga SPPS pula bagaimana? Adakah anda kini sedang menikmati cuti anda sebagaimana warga-warga sekolah yang lain?

Kepada pelajar SPPS, khususnya untuk Tahun Ketiga yang bakal menyambung ke Tahun Empat, diharapkan cuti anda dapat diisi dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah yang dapat digunakan untuk semester depan, dalam praktikal latihan mengajar anda. Ambil cuti ini sebagai satu ruang persediaan bagi memantapkan mental dan fizikal anda agar mampu menghadapi cabaran yang lebih besar lagi pada semester hadapan.

Akhir kata dari kami warga ICT, jaga diri, hiasi peribadi =))


Berita Gembira Untuk Semua

Kepada warga Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial, mesin air R.O telah dipasang berdekatan dengan Kafe Guru untuk kemudahan dan kegunaan kita semua. Pembelian air adalah sebanyak RM0.20 sen bagi 1 liter, dan ini sudah tentunya dapat menjadi satu kelebihan kepada kita semua kerana kadar pembelian air yang murah sekiranya dibandingkan dengan pembelian air mineral sebanyak RM1 bagi 500 ml. Diharapkan semua warga SPPS dapat memanfaatkan kemudahan mesin R.O ini dengan sebaik-baiknya.


Wajah ceria Presiden PERMADIK dengan kemudahan R.O.


Malahan, PERMADIK juga akan mengusahakan kemudahan fotokopi dan binding buat warga-warga SPPS agar kita tidak perlulah bersusah payah bergerak jauh ke perpustakaan atau ke Kafe D'bayu semata-mata untuk fotokopi. 

Akhir kata dari warga ICT, majulah SPPS untuk UMS =))


p/s: Selamat bercuti kepada warga SPPS! Manfaatkan lah cuti ini dengan aktiviti yang berfaedah~

Wednesday, April 14, 2010

Kisah Guru Malaysia

Dunia guru ini bukanlah senang untuk diharungi. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang. Murid-murid sudah pandai membantah cakap guru, malah, ada juga yang berani memukul guru. Sebagai bakal guru, kita kena teguhkan hati dan kuatkan minda. Ingatlah bahawa, dunia tidak selalu cerah. Kadang-kadang kita di atas, dan adakalanya kita hidup di bawah. Jadikanlah setiap dugaan itu sebagai motivasi untuk kita sentiasa memajukan diri.

Dan sementara merehat-rehatkan minda dari buku, marilah kita singgah sebentar di Dunia Guru Dan Cikgu Malaysia. Semoga kisah ini dapat menjadi iktibar kepada semua bakal guru Malaysia.

Kepada bakal-bakal guru yang akan melanjutkan praktikal di tempat posting masing, kami daripada Exco ICT mengucapkan selamat maju jaya. Selamat berkhidmat untuk masyarakat! Ngeee =))


p.s: Hidup kena selalu ingat Tuhan.

Tuesday, April 13, 2010

Kem Skor A UPSR Siri 3/2010

Permohonan untuk pengambilan AJK bagi KEM SKOR A UPSR Siri 3/2010 telah dibuka. Borang boleh didapati berdekatan dengan Pejabat PERMADIK. Antara jawatankuasa yang dibuka ialah AJK Protokol, AJK tajaan, AJK Urusetia dan sebagainya. Permohonan masih dibuka dan penyertaan daripada warga SPPS amatlah dialu-alukan.

Untuk pengetahuan sekalian, Kem Skor A ini akan diadakan pada awal bulan Jun, iaitu pada 4 hingga 6 jun 2010. Sama-samalah kita berkhidmat untuk masyarakat.


Jom ramai-ramai serbu borang berwarna hijau ini. Heee =))



p.s: Luang-luangkan lah masa lapang kita untuk program membangunkan seperti ini. Tidak rugi bha.

TESL Night 2010

Pada 26 Mac 2010, majlis TESL Night 2010 telah diadakan dengan jayanya. Majlis tersebut yang diadakan di Putra Teater Ballroom telah dianjurkan oleh pelajar-pelajar Tahun Dua jurusan TESL. TESL night untuk tahun 2010 ini mengambil tema "Black&White" dan kelihatannya semua pelajar mampu bergaya mengikut kehendak tema. Berikut merupakan antara gambar yang berjaya dirakamkan pada malam yang gilang gemilang itu.


"Moment of memories"


Persembahan nyanyian daripada pelajar Tahun Satu TESL.


Pelajar-pelajar Tahun Dua TESL.


Barisan pelajar Tahun Tiga yang mengadakan persembahan "Nobody" pada malam tersebut.


Dan ini merupakan barisan pelajar Tahun Empat yang bakal menamatkan pengajian mereka pada tahun ini. Semoga berjaya diucapkan daripada Exco ICT Permadik!



Semoga tradisi dan majlis TESL night ini mampu diteruskan pada masa hadapan dan diharapkan agar majlis ini mampu menjadi lebih mantap bagi tahun-tahun yang seterusnya. Kepada barisan penganjur pelajar Tahun Dua, sekalung tahniah diucapkan kerana berjaya menganjurkan majlis tersebut dengan jayanya. =))

Majulah SPPS untuk UMS.


p.s: Gambar-gambar telah diambil daripada Facebook. Minta maaf diucapkan kerana mengambil gambar tanpa keizinan.

Sunday, April 11, 2010

I Love English Camp

PERMADIK juga telah menganjurkan I Love English Camp yang diadakan pada 7 Mac 2010. Walaupun English camp ini cuma dijalankan selama sehari sahaja, namun kepuasan jelas terlihat di wajah setiap students dan fasilitator yang terlibat. Berikut merupakan antara gambar-gambar dan saat yang telah berjaya dirakam pada hari tersebut.


 
LDK 1 yang dilaksanakan bersama fasilitator kumpulan masing-masing.


Sesi ice-breaking bersama dengan para pelajar. Romantik juga kamu berbincang di bawah pokok ni? Heee.


Bersama-sama dengan fasi di foyer SPPS.
 

Bertungkus lumus mencipta logo dan slogan kumpulan masing-masing.


Sewaktu mempersembahkan hasil kerja kumpulan masing-masing.
 

Persembahan yell. Tengok fasi pun sporting ikut gelagat students ni.
 

Diambil sewaktu students bermain game "Simon says". Seronok tengok students enjoy game ini.


Pit stop dengan Abang Liang. Hoho.
 
 
 Salah satu pit stop Explorace yang paling mencabar. Susah mahu cari clue bha di sini.

 
Permainan tiup-tiup tepung. Habis muka students jadi putih. Hehe.
 

Sesi gambar bersama dengan students dan fasilitator yang terlibat.


Pesanan daripada Exco ICT, semoga lebih banyak program seperti English camp ini mampu dilaksanakan pada masa hadapan. Sama-samalah kita berbakti kepada masyarakat.


p.s: Gambar dicelup daripada facebook Kak Nadia. Sorry Kak Nad ambil tanpa permission. Huhu.