Sunday, July 4, 2010

Selamat Datang Ke UMS!

Seperti yang kita semua tahu, pada minggu ini para pelajar baru akan datang mendaftar ke Universiti Malaysia Sabah untuk meneruskan pengajian mereka. Kami daripada warga PERMADIK ingin mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baru dan semoga kita semua dapat berkerjasama dengan baik pada masa hadapan, khususnya kepada pelajar-pelajar baru Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial. Minggu pertama berada di kampus selalunya minggu yang agak mendebarkan dan mungkin juga memenatkan buat semua kerana kita tahu bahawa minggu yang pertama ialah minggu suai mesra bersama para pelajar baru, atau pun dalam bahasa ringkasnya, MSM.

Berdasarkan pengalaman penulis pada MSM yang lepas, minggu MSM sememangnya agak memenatkan akan tetapi banyak pengalaman dan banyak manfaat yang dapat kita semua perolehi dalam minggu tersebut. Hati mungkin terguris ataupun terluka dek kerana beberapa pihak, tetapi anggaplah semua itu sebagai satu cabaran besar bagi anda semua. Dan pelajar-pelajar baru yang datang daripada Semenanjung dan Sarawak, sudah semestinya akan merindui keluarga tersayang yang jauh. Kami faham perasaan anda. Bukan senang untuk menempuhi semua tanpa mereka yang tersayang ada di sisi. Banyakkan berdoa dan kuatkan semangat, itulah kunci kepada kejayaan! Dan tidak lupa juga kepada pelajar-pelajar dari Universiti Perguruan Sultan Idris ataupun UPSI yang turut mendaftar ke UMS untuk program exchange students selama 1 semester. Selamat datang semuanya!

Buat warga SPPS yang baru, ambil lah sebanyak mana pengalaman yang dapat digenggam di minggu pertama ini. Hayatilah prinsip dan rukun yang harus didalami sebagai warga pendidik yang akan berkhidmat untuk masyarakat pada masa akan datang. Ingatlah, sebagai warga pendidik, tanggungjawab kita adalah sangat besar dan mulai sekarang, kita semua harus menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua. Lebih-lebih lagi buat warga sekolah kita, iaitu SPPS. Terimalah dengan seadanya undang-undang yang perlu dipatuhi ketika berada di kawasan sekolah dan jangan menganggap undang-undang tersebut sebagai sesuatu yang leceh mahupun skema.

Buat semua pelajar baru SPPS, sekali lagi, kami daripada warga PERMADIK 2010 mengucapkan selamat datang kepada anda semua! Have a safe journey with us and all the best juniors! =))


Kami warga PERMADIK semua bersedia membantu pelajar-pelajar baru ya. Kalau ada soalan, jangan lah malu-malu bertanya. Bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan. Sama-samalah kita berkerjasama untuk membentuk komuniti pendidik UMS yang berwawasan!

Ganbatte semua! Chayoo-chayoo!



p.s: Tidak sabar menyambut pelajar-pelajar baru.

No comments: