Thursday, July 29, 2010

Perlantikan Presiden PERMADIK sebagai Pengerusi Majlis Presiden UMS

SALAM PERMADIK! Apa khabar anda semua? Sihat tak? Harap anda semua sihat sahaja ya. Hari ini sang penulis ingin mewartakan khabar gembira buat semua warga SPPS, Permadik dan khususnya buat Presiden Permadik kita, Jrd Surian Sebastian.

Pada hari Rabu yang lalu, Presiden Permadik kita telah dilantik menjadi Pengerusi Majlis Presiden Universiti Malaysia Sabah! Ribuan tahniah diucapkan daripada kami warga Permadik serta SPPS sendiri terhadap perlantikan tersebut. Dengan perlantikan ini, diharapkan agar semangat dan perjuangan Presiden dapat diteruskan lagi untuk memperjuangkan kebajikan para pelajar serta mengangkat nama Permadik sendiri sebagai sebuah persatuan yang bukan sahaja komited tetapi juga diiktiraf.



Berita ini sememangnya membawa berita yang baik khususnya kepada barisan kepimpinan Permadik sendiri. Oleh itu, sebagai rakan Permadik dan warga SPPS, kita hendaklah sentiasa memberikan sokongan padu terhadap Presiden dan juga terhadap Persatuan Permadik sendiri. Ingatlah bahawa, setiap kejayaan itu bermula dengan usaha dan kerjasama sesama pihak. Jalankanlah tanggungjawab anda sebaik yang mungkin.

Sekali lagi, kami ucapkan tahniah untuk Presiden! You're the best!!!

Sunday, July 25, 2010

Majlis Amanat Dekan

Pada 23 Julai 2010 yang lepas, iaitu bersamaan pada hari Jumaat, Sekolah Pendidikan Dan Pembangunan Sosial telah mengadakan sebuah majlis untuk warga SPPS iaitu Majlis Amanat Dekan. Majlis tersebut telah bermula pada jam 8.40 pagi dengan kehadiran beberapa pensyarah SPPS, pelajar-pelajar SPPS dan juga dihadiri oleh Dekan sekolah kita sendiri. Majlis tersebut telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Universiti Malaysia Sabah serta lagu Kami Guru Malaysia. Majlis diteruskan dengan pembacaan doa daripada wakil pelajar SPPS dan seterusnya ucapan daripada Presiden Permadik, iaitu Jrd Sebastian.

Berikut merupakan beberapa pengisian daripada ucapan Presiden Permadik.
- Majlis tersebut dicetuskan oleh Dekan sendiri.
- Majlis itu memberi peluang untuk pelajar SPPS mendengarkan sendiri taklimat dan strategi perlaksanaan program sekolah kita.
- Beliau menekankan kepentingan perhimpunan besar seperti majlis tersebut.
- Presiden juga telah menyeru kita sebagai warga SPPS supaya mengaktifkan diri di kampus dan menekankan elemen soft skill dalam diri masing-masing.

Majlis diteruskan dengan ucapan dan amanat yang dinanti-nantikan semua pelajar SPPS. Antara pengisian amanat Dekan ialah:
- Dekan telah menyentuh tentang jumlah para pelajar dalam setiap program pendidikan. Menurut beliau, kumpulan program yang paling banyak ialah program HT17, iaitu Program Sains Sosial. Manakala jumlah yang tersedikit ialah kumpulan pelajar Program Pendidikan Ekonomi.
- Mulai semester ini, sekolah akan memberikan peluang dan perhatian lebih kepada pelajar yang berpotensi untuk mendapatkan kelas pertama, manakala pelajar yang memiliki Gred 2.30 dan ke bawaj akan diberikan bimbingan untuk meningkatkan prestasi mereka.
- Dekan mahu aspek softskill diutamakan dan juga harus memberi fokus pada nilai intelek.
- Beberapa program akan dianjurkan oleh Sekolah SPPS sendiri, contohnya Program Hari Guru (Bulan Ogos dan September), Majlis Berbuka Puasa, pembukaan Makmal SPPS dan juga beberapa program yang lain.
- Rancangan untuk membantu para pelajar daripada awal, khususnya pelajar Tahun Satu.
- Dekan juga telah menyeru supaya para pelajar sentiasa maju ke depan, perbaiki kehadiran masing-masing serta pelajar seharusnya menumpukan sepenuh perhatian pada program. Jangan lalai dengan aktiviti sampingan sehingga menganggu pembelajaran.
- Penampilan pelajar SPPS juga turut diberi perhatian oleh Dekan. Beliau telah menekankan kepentingan penampilan sebagai seorang bakal guru apabila berada di kawasan sekolah, khususnya.

Antara beberapa isu yang dikemukan semasa sesi Soal dan Jawab ialah:
i.) Isu penempatan guru.
- Pelajar harus menepati kelayakan yang diperlukan untuk mendapat posting ke sekolah-sekolah.
- Pelajar juga harus berfikiran luas. Pelajar boleh mengajar di mana-mana sekolah dan tidak perlu menunggu untuk posting.

ii.) PPSMI akan dimansuhkan secara perlahan-lahan.

iii.) Isu penempatan ke kawasan pedalaman.
- Syarat yang harus ditepati kerana ia adalah keputusan muktamad kerajaan.
- Pelajar tidak harus menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu "bala" akan tetapi menganggapnya sebagai satu hadiah.

iv.) Cadangan untuk PERMADIK mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia.
- Idea tersebut akan dipertimbangkan.

v.) Isu hardskill yang dikemukan.
- Program seperti sukan, unit beruniform dan persatuan dicadangkan.


Demikianlah pengisian amanat Dekan pada hari tersebut. Isu-isu yang dikemukan haruslah diambil perhatian bukan sahaja oleh pihak PERMADIK sendiri, tetapi juga untuk pelajar SPPS yang lain. Sentiasalah mengunjungi FB PERMADIK kerana di situ pelbagai aktiviti telah dirangkakan dan dikemaskini. Amanat yang telah diberikan Dekan juga haruslah disematkan dalam jiwa setiap pelajar SPPS.

Setiap amanat harus disemaikan dalam diri. Ingatlah bahawa, ini semua adalah untuk kebaikan diri kita sendiri dan bukan untuk orang lain. Setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak SPPS mahupun pihak PERMADIK bukanlah bertujuan untuk memaksa atau menyusahkan para pelajar, akan tetapi ia adalah untuk kebaikan diri kita semua.

INILAH TANGGUNGJAWAB KITA SEMUA SEBAGAI BAKAL PENDIDIK.

Sunday, July 18, 2010

Lawatan Pelajar SM Teknik Tawau

Salam PERMADIK sang penulis ucapkan kepada semua. Selamat pagi dan selamat sejahtera. Untuk pengetahuan semua, pada 17 Julai 2010 (Sabtu), para pelajar daripada Sekolah Menengah Teknik Tawau telah membuat lawatan ke Universiti Malaysia Sabah, khususnya di sekolah kita, iaitu Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial. Ahli PERMADIK sendiri telah merangka perisian program lawatan ke SPPS tersebut di samping memberi motivasi kepada para pelajar sekolah tersebut agar mereka berjaya dan berupaya untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti.

Berikut adalah beberapa gambar yang diambil pada hari lawatan tersebut.


SPPS


Barisan PERMADIK yang bertugas pada hari tersebut.


Presiden PERMADIK =)








Kenangan bergambar beramai-ramai bersama pelajar SM Teknik Tawau.


Info terkini daripada PERMADIK, Sukan Massa Mahasiswa Sesi 2010/2011 akan berlangsung pada 1 Ogos 2010 ini yang bertempat di kompleks sukan UMS. Penyertaan terbuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi. Antara acara yang akan dipertandingkan ialah acara futsal, bola keranjang, bola tampar, sepak takraw, ping pong, ragbi sentuh dan juga sukan bola jaring. Semua penyertaan adalah percuma.

Oleh itu, sama-samalah kita semua warga SPPS memeriahkan karnival sukan ini dengan menghantar penyertaan masing-masing. Majulah sukan untuk negara dan majulah PERMADIK untuk SPPS!

Friday, July 16, 2010

Jemputan Ke Majlis Amanat Dekan

Salam sejahtera dan salam 1Malaysia sang penulis ucapkan kepada warga Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial serta salam Permadik saya ucapkan terhadap warga PERMADIK sekalian. Apa khabar anda semua? Sihat tak? Semoga semua sihat-sihat belaka ya.

Bersempena dengan Majlis Amanat Dekan yang akan diadakan pada 23 Julai 2010 (Jumaat) ini, kami wakil daripada warga PERMADIK ingin menjemput semua warga SPPS serta warga PERMADIK sekalian untuk turut serta menyertai dan menghadiri majlis tersebut sebagai tanda sokongan terhadap sekolah kita. Majlis ini adalah penting kerana program ini memberi peluang kepada kita untuk mendengar sedikit sebanyak amanat dan sepatah kata daripada Dekan sekolah kita sendiri. Malahan, kita juga akan mendapat banyak manfaat seperti mendapatkan maklumat yang lebih khusus dan terkini tentang sekolah SPPS kita. Diharapkan agar semua pihak dapat bekerjasama dan marilah kita semua menyokong apa sahaja aktiviti yang dianjurkan oleh pihak PERMADIK.



Seperti yang kita dapat lihat di poster di atas, kod pemakaian bagi semua pelajar SPPS adalah formal dan berpakaian lengkap. Sekiranya mana-mana pelajar terlibat dengan kuliah pada hari tersebut, anda akan diberikan surat pengecualian daripada kuliah. Malahan, cop passport juga akan diberikan kepada semua pelajar yang menghadiri majlis tersebut. 

Warga PERMADIK dan warga SPPS, sama-samalah kita menghadiri majlis tersebut sebagai tanda sokongan terhadap Dekan serta terhadap sekolah kita sendiri. 

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. =)

Sunday, July 4, 2010

Selamat Datang Ke UMS!

Seperti yang kita semua tahu, pada minggu ini para pelajar baru akan datang mendaftar ke Universiti Malaysia Sabah untuk meneruskan pengajian mereka. Kami daripada warga PERMADIK ingin mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baru dan semoga kita semua dapat berkerjasama dengan baik pada masa hadapan, khususnya kepada pelajar-pelajar baru Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial. Minggu pertama berada di kampus selalunya minggu yang agak mendebarkan dan mungkin juga memenatkan buat semua kerana kita tahu bahawa minggu yang pertama ialah minggu suai mesra bersama para pelajar baru, atau pun dalam bahasa ringkasnya, MSM.

Berdasarkan pengalaman penulis pada MSM yang lepas, minggu MSM sememangnya agak memenatkan akan tetapi banyak pengalaman dan banyak manfaat yang dapat kita semua perolehi dalam minggu tersebut. Hati mungkin terguris ataupun terluka dek kerana beberapa pihak, tetapi anggaplah semua itu sebagai satu cabaran besar bagi anda semua. Dan pelajar-pelajar baru yang datang daripada Semenanjung dan Sarawak, sudah semestinya akan merindui keluarga tersayang yang jauh. Kami faham perasaan anda. Bukan senang untuk menempuhi semua tanpa mereka yang tersayang ada di sisi. Banyakkan berdoa dan kuatkan semangat, itulah kunci kepada kejayaan! Dan tidak lupa juga kepada pelajar-pelajar dari Universiti Perguruan Sultan Idris ataupun UPSI yang turut mendaftar ke UMS untuk program exchange students selama 1 semester. Selamat datang semuanya!

Buat warga SPPS yang baru, ambil lah sebanyak mana pengalaman yang dapat digenggam di minggu pertama ini. Hayatilah prinsip dan rukun yang harus didalami sebagai warga pendidik yang akan berkhidmat untuk masyarakat pada masa akan datang. Ingatlah, sebagai warga pendidik, tanggungjawab kita adalah sangat besar dan mulai sekarang, kita semua harus menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua. Lebih-lebih lagi buat warga sekolah kita, iaitu SPPS. Terimalah dengan seadanya undang-undang yang perlu dipatuhi ketika berada di kawasan sekolah dan jangan menganggap undang-undang tersebut sebagai sesuatu yang leceh mahupun skema.

Buat semua pelajar baru SPPS, sekali lagi, kami daripada warga PERMADIK 2010 mengucapkan selamat datang kepada anda semua! Have a safe journey with us and all the best juniors! =))


Kami warga PERMADIK semua bersedia membantu pelajar-pelajar baru ya. Kalau ada soalan, jangan lah malu-malu bertanya. Bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan. Sama-samalah kita berkerjasama untuk membentuk komuniti pendidik UMS yang berwawasan!

Ganbatte semua! Chayoo-chayoo!



p.s: Tidak sabar menyambut pelajar-pelajar baru.